5 Teknik Penipuan Yang Pelancong Perlu Awasi

Apabila melancong ke luar negara atau destinasi baharu, pengalaman yang menyeronokkan boleh bertukar menjadi mimpi buruk sekiranya pelancong tidak berhati-hati. Kita sering dengar berita tentang pelancong tertipu,tetapi adakah kita kenal jenis-jenis penipuan tersebut? Oleh itu, berikut merupakan 5 teknik penipuan yang anda perlu tahu sebelum melancong agar percutian anda kekal selamat dan bebas penipuan.

1. Overcharging

Overcharging merupakan salah satu penipuan yang paling kerap berlaku terhadap pelancong. Barangan seperti makanan dan cenderamata sering dijual pada harga yang jauh lebih mahal berbanding harga sebenar. Selain itu, perkhidmatan seperti teksi dan pengangkutan awam juga boleh menjadi punca pelancong dikenakan caj berlebihan. Situasi ini berlaku kerana pelancong biasanya tidak mengetahui harga sebenar barangan atau perkhidmatan di sesuatu destinasi. Oleh sebab itu, cara yang paling efektif untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku adalah dengan mengambil pakej pelancong yang termasuk dengan makanan sekali.

2. Pakej Pelancongan Palsu

Penipuan ini sering berlaku apabila pelancong berurusan dengan agensi pelancongan yang tidak berlesen. Tawaran pakej yang terlalu murah sering menjadi perangkap kepada pelancong. Terdapat banyak kes penipuan melibatkan pakej pelancongan palsu yang menyebabkan pelancong mengalami kerugian wang dan masa. Oleh itu, pelancong disarankan untuk hanya berurusan dengan agensi pelancongan yang berlesen dan berdaftar secara sah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC).

3. Penipuan Barang-Barang

Penipuan jenis ini popular berlaku di beberapa negara Eropah, terutamanya di kawasan pelancongan yang sesak. Antara helah yang biasa digunakan ialah pelukis jalanan yang sengaja meletakkan lukisan di laluan orang ramai dengan harapan ada pelancong akan terpijak lukisan tersebut. Apabila perkara itu berlaku, pelukis akan meminta bayaran yang tinggi sebagai ganti rugi. Selain itu, pemain muzik jalanan juga ada yang meletakkan bekas duit di tengah laluan dengan harapan pelancong terlanggar atau menjatuhkannya, lalu memberikan wang atas dasar simpati.

4. Penukaran Mata Wang yang Tidak Sah

Penipuan ini hampir sama dengan kes pakej pelancongan palsu, di mana pelancong berurusan dengan tempat yang tidak berdaftar. Penukaran wang di kaunter tidak sah boleh menyebabkan pelancong dikenakan kadar pertukaran yang tinggi, menerima wang palsu atau mendapat jumlah wang yang tidak mencukupi. Oleh itu, pelancong disarankan untuk survey berberapa tempat yang berbeza sebelum melakukan penukaran wang agar masalah ini dapat dielakkan.

5. Polis atau Pegawai Palsu

Teknik penipuan ini melibatkan individu yang menyamar sebagai polis atau pegawai pihak berkuasa. Mereka akan mendakwa pelancong telah melakukan kesalahan tertentu dan seterusnya memaksa pelancong membayar denda secara tunai di tempat kejadian. Pelancong yang panik dan tidak biasa dengan undang-undang tempatan sering menjadi mangsa penipuan ini. Justeru, pelancong perlu berwaspada dan hanya berurusan dengan pihak berkuasa sebenar di balai polis atau pejabat rasmi.

Kesimpulannya, pengetahuan tentang teknik penipuan yang sering berlaku dapat membantu anda supaya lebih berwaspada ketika melancong. Dengan sikap berhati-hati dan perancangan yang baik, anda dapat mengelakkan kerugian serta menikmati percutian dengan lebih selamat dan tenang.

Related posts